Kepelbagaian beribadah kepada Allah Subhanahuwataala amatlah baik untuk kita lakukan dalam kehidupan kita sehari-hari . Ia amat praktikal , dan kita amat disarankan untuk mengerjakannya. Kepelbagaian tersebut merujuk kepada ibadah badaniah , lisan , aqliah , pancaindera , zahiriah mahupun batiniah . Ia mencakupi keseluruhan jenis ibadah itu sendiri . Ia bukan merujuk kepada satu-satu ibadah tertentu semata. Tulisan ini bukanlah bermaksud supaya kita meninggalkan ibadah yang selalu kita lakukan . Bukan begitu maksudnya . Bahkan ia menggalakkannya dengan ditambah lagi dengan ibadah-ibadah sunnah yang lain. Ini baru menepati skop jangkauan tulisan ini . Jadi sebenarnya jika kita mempelbagaikan ibadah itu sendiri sudah menunjukkan suatu perkembangan ataupun dalam erti kata yang lain kita telah mencapai satu tahap beribadah kepada Allah yang lebih baik daripada sebelumnya . Mungkin selama ini kita cuma beramal satu jenis ibadah tertentu sahaja .Maka kali ini kita sepatutnya mempertingkatkan lagi tahap ibadah itu dengan ibadah sokongan yang lainnya .
Ibadah kepada Allah sama jugalah ibarat seperti seseorang makan untuk keperluan badaniahnya . Bahkan ibadah kepada Allah lebihlah daripada itu tiada umpama ibaratpun ; cuma sebagai bandingan untuk fahaman akal kita yang rendah semata. Beribadah kepada Allah merupakan santapan rohani kepada roh kita . Ya , sepertimana kita perlu makan untuk hidup begitu jugalah kita perlu makanan rohani untuk kehidupan rohaniah kita. Ini untuk pendekatan fahaman kita . Jadi ibadah kepada Allah itu suatu keperluan hidup sebenarnya . Itulah menjadi panduan kita . Bukan sekadar mengalas perut semata untuk mengisi tembolok kita demi memuaskan hawa nafsu kita semata.
Cuba bayangkan jika makanan itu berbagai jenis juadah , citarasa , sentuhannya , warnanya , bentuknya , saiznya dan macam-macam lagilah . Maka sudah tentu sedap bukan hidangan tersebut. Begitulah juga jika ibadah kita itu dipelbagaikan maka sudah tentu sedap dan nikmatnya ibadah itu. Subhanallah , tuhan yang menurunkan kepelbagaian ibadah kepada hamba-Nya ; Yang Maha Mengetahui Segala Rahsia-Nya .Alhamdulillah beruntung hamba-hamba-Nya yang beribadah kepadanya dengan kepelbagaian jenis ibadah kepada –Nya.
Begitulah serba-sedikit ulasan pendek saya untuk santapan rohani hamba-hamba-Nya. Jumpa lagi di lain waktu .